Hati yang meruntun tak terungkap walau dengan sepatah kata,
tatkala melihat seorang ibu bertarung nyawa demi melahirkan seorang manusia
yang dilahirkan suci daripada dosa.
Alhamdulillah, masuk hari ini, Allah
izinkan saya melihat 9 deliveries (6 normal, 1 forcep dan 2 vacuum). Kali
pertama menyaksikan pertarungan nyawa itu, jantung saya seakan gugur, hati
menangis dan saya dapat rasakan muka saya pucat. Saat itu juga ingin sekali
saya menelefon ma dan ucap “terima kasih, ma”. Subhanallah. Alhamdulillah.
Allahuakbar.
Unik kejadian Allah. Begitu besar pengorbanan seorang insan
bergelar ibu. Menyaksikannya sendiri, langsung di depan mata, mengingatkan saya
kepada hadis nabi yang menyebut ibu sebanyak 3 kali sebelum menyebut nama ayah.
Sungguh adil, syurga di bawah tapak kaki ibu. Saya merasakan, andai setiap
orang daripada kita diberi peluang melihat sendiri di depan mata seorang ibu
melahirkan anaknya, takkan ada seorang pun anak yang derhaka kepada ibunya.
Takkan ada seorang pun anak yang sanggup membiarkan ibunya sakit keseorangan.
Takkan ada seorang pun anak yang sanggup meninggikan suara kepada ibunya.
Takkan ada seorang pun yang sanggup kecilkan hati ibunya. Kerana kasih sayang
seorang ibu, tiada tolak bandingnya.
Ibu. Nalurinya cukup kuat. Dia memarahi anaknya kerana
sayang. Dia memukul anaknya kerana amanah. Kerana setianya pada seorang suami
yang dicintainya, mendidik anak dengan penuh rasa tanggungjawab, membelai anak
dengan penuh rasa kasih dan sayang.
Ibu. Insan ini tidak layak untuk disakiti. Walau hanya dengan sekelumit kata.
Terima kasih, yang bergelar ibu dan ayah.
Terima kasih ma & papa....